AMALAN yang menghidupkan Ramadan ialah
memperbanyakkan sedekah kerana sikap bermurah hati pada Ramadan adalah
dituntut. Ibn Abbas melaporkan: "Rasulullah adalah orang yang paling
dermawan dan beliau lebih dermawan lagi pada Ramadan ketika Jibril menemuinya
lalu membacakan padanya al-Quran." (Hadis riwayat Bukhari)
Membaca al-Quran
Disunatkan memperbanyakkan bacaan al-Quran
pada bulan Ramadan kerana ia bulan al-Quran seperti firman Allah yang
bermaksud: "... bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi
petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk
dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah." (Surah
al-Baqarah, ayat 185)
Malaikat Jibril sentiasa bertadarus
al-Quran dengan Nabi SAW setiap hari sepanjang Ramadan. Para salaf mendahulukan
bacaan al-Quran daripada ibadah lain. Sebahagian salaf khatam al-Quran dalam
masa tiga hari, sebahagiannya tujuh hari dan 10 hari pada Ramadan.
Saidina Uthman bin Affan khatam al-Quran
setiap hari pada Ramadan. Imam Zuhri berkata apabila tiba Ramadan,
"Sesungguhnya Ramadan itu bulan membaca al-Quran dan menyediakan makanan
untuk orang berpuasa."
Memberikan makan kepada orang yang berbuka
puasa.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Sesiapa yang memberikan makan kepada orang yang berpuasa, maka baginya
seperti pahala (orang yang berpuasa) dalam keadaan tidak berkurung sedikitpun
dari pahala orang yang berpuasa itu." (Hadis riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibn Majah
dan ad-Darimi)
Qiamullail
Disunatkan berjaga malam secara berjemaah
pada bulan Ramadan iaitu solat terawih dan waktunya di antara solat Isyak
hinggalah terbitnya fajar. Nabi sangat gemar mendirikan malam pada bulan
Ramadan.
Rasulullah bersabda yang bermaksud:
"Sesiapa menghidupkan Ramadan dengan keimanan dan pengharapan pahala
daripada Allah Taala, maka akan diampunkan segala dosanya yang terdahulu."
(Hadis riwayat Bukhari)
Solat tarawih
Solat tarawih adalah solat khusus yang
hanya dilakukan pada Ramadan. Solat tarawih, walaupun dapat dilaksanakan
bersendirian, umumnya dilakukan secara berjemaah di masjid. Di sesetengah
tempat, sebelum solat tarawih, diadakan ceramah singkat bagi menasihati jemaah.
Mengerjakan umrah
Perkara disunatkan pada Ramadan adalah
mengerjakan umrah berdasarkan sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Umrah
pada Ramadan (pahalanya) sama dengan (pahala) mengerjakan haji atau mengerjakan
haji bersamaku." (Hadis riwayat Bukhari)
Zakat fitrah
Zakat fitrah dikeluarkan khusus pada
Ramadan atau paling lambat sebelum selesainya solat sunat hari raya. Setiap
Individu Muslim yang berkemampuan wajib membayar zakat fitrah. Nilai zakat
fitrah adalah satu gantang makanan ruji atau setara dengan 2.7 kilogram
beras.
0 comments:
Post a Comment